Ahad, 26 Julai 2009

Wood History

Pengenalan

Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya. Seni ini begitu berkembang luas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak di mana terdapat kira-kira 3000 spesis kayu-kayan di negara kita. Di samping itu juga, kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya. Dalam bidang ini, fokus akan ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sarawak dan masyarakat Orang Asli.

Sejarah Ukiran Kayu Melayu


Ukiran kayu
berbentuk wau
Ukiran merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Sejarah seni ukir di Tanah Melayu banyak terdapat dalam catatan-catatan sejarah iaitu dalam Sejarah Melayu di mana dikatakan seni ukiran Melayu tradisi telah ada sejak lebih 500 tahun dahulu. Pada ketika itu, orang-orang Melayu sudah memberi perhatian yang istimewa terhadap seni ukiran pada bangunan seperti istana dan rumah kediaman. Raja-raja Melayu pada zaman dahulu memainkan peranan penting dalam memperkembang dan menghidupkan suasana seni ukiran. Hingga kini peninggalan istana-istana lama memperlihatkan betapa indah dan uniknya ukiran-ukiran yang diterapkan pada istana-istana tersebut. Di Semenanjung Malaysia, kekayaan seni ukiran kayu orang Melayu paling ketara pada binaan rumah tradisional terutama di Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan.

Teknik dan Gaya

Ukiran kayu dapat dilaksanakan dengan berbagai-bagai teknik dan penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung pada kebolehan dan kemahiran pandai kayu. Tiga teknik utama dan gaya di dalam seni ukiran Melayu ialah tebuk terus, tebuk separuh dan tebuk timbul. Bentuk ukiran juga ada tiga jenis utama iaitu bujang, lengkap dan pemidang

Bentuk Bujang

Bentuk ini berdiri terasing, bebas, dan tidak terikat, berkait atau bersambung-sambung. Biasanya bentuk ini menampilkan motif bulan, bintang, matahari, kuntuk bunga ataupun putik buah.

Bentuk Pemidang

Bentuk ini menampilkan motif yang menggambarkan pergerakan sederhana dan tidak berbelit-berbelit. Bentuk ini mempunyai bingkai atau pemidang.



Ukiran patung kayu
Ukiran-ukiran yang dibuat dalam bentuk ini diberi nama-nama yang menarik seperti itik pulang petang, badak mudik, setampuk manggis dan lain-lain. Biasanya Bentuk pemidang digunakan untuk jala-jala rumah serta benda-benda yang terdapat di dalam rumah seperti tepak sirih, almari dan dulang kayu.

Bentuk Lengkap

Bentuk ini menggabungkan ciri-ciri bentuk bujang dan bentuk pemidang. Bentuk ini menitikberatkan unsur tumbuh-tumbuhan, merangkumi akar, batang, buah, dahan, daun, putik dan sulurnya.

Alat dan Motif

Alat-alat yang digunakan untuk seni ukiran adalah seperti gergaji, ketam, tukul besi dan paling penting pahat. Motif ukiran kayu orang Melayu terbahagi kepada beberapa jenis ;
Motif makhluk halus, contohnya ayam, badak dan itik (ayam berlaga, badak mudik dan itik pulang petang)

Motif angkasa atau kosmos yang menerapkan gambaran awan larat seperti bintang, matahari, bulan dan bukit bukau

Motif Geometri menampilkan bentuk bulatan dan bentuk segitiga yang disusun berderet. Kadangkala bentuk segitiga ini dicantum dengan sulur-sulur tumbuhan. Biasanya, motif-motif ini terdapat pada alat-alat tembikar, sarung keris, tepak sirih dan barang-barang tembaga.

Motif seni khat atau kaligrafi, menggunakan huruf Arab, terutamanya petikan Quran dan tulisan Jawi. Motif ini banyak terdapat di ambang pintu rumah, masjid dan surau serta pada alat-alat keagamaan seperti rehal.




Mengukir kayu (khat)
Penggunaan

Seni ukiran kayu di kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja terdapat pada rumah-rumah tetapi penjelmaan dan penerapannya terdapat pada istana-istana raja, binaan masjid dan mimbarnya, surau, wakaf, pintu gerbang, alat-alat permainan masa lapang, alat-alat muzik tradisi, perabot seperti almari, katil, kerusi, meja, dan kepala perahu yang disebut bangau, alat-alat senjata, peralatan memasak, peralatan pertukangan dan pengangkutan tradisi seperti perahu, kereta kuda dan kereta lembu.
Seni ukir kayu melayu
Satu seminar antarabangsa mengenai tradisi seni ukir kayu Melayu telah diadakan di Kelantan, baru-baru ini. Ia dianjurkan bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Alam & Tamadun Melayu Malaysia (ATMA), dengan kerjasama KANDIS RESOURCE CENTRE.
Seminar ini antara lain bertujuan menyampaikan penemuan penyelidikan yang telah dijalankan semenjak Januari 2008 hingga kini dan pada masa yang sama menyediakan platform bagi perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran dalam bidang yang menjadi symbol kekayaan dan keindahan seni budaya kebanggaan rakyat Malaysia sejak berkurun lamanya.
Seminar ini juga dapat memperkayakan ilmu dalam bidang seni ukir kayu sambil mengetengahkan falsafah dan hasil kerja termahir pengukir tersohor allahyarham Nik Rashidin Nik Hussein kepada masyarakat Malaysia terutama generasi muda. Koleksi khas allahyarham yang kini disimpan di muzium dan galeri Kandis Resource Centramat wajar dijadikan sumber penyelidikan bagi mendalami perkembangan dan peranan seni ukir kayu dalam pelbagai aktiviti hidup masyarakat Melayu termasuk di rumah dan masjid, perahu dan kapal serta persiapan ke laut, seni mempertahankan diri, adat istiadat, aktiviti masa lapang dan lain-lain.
Secebis mengenai INSTITUT ALAM DAN TAMADUN MELAYU (ATMA)
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia bermula sebagai Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu yang telah ditubuhkan pada 1 Disember 1972. Tujuan penubuhan Institut ialah untuk menawarkan program pengajian pascasiswazah iaitu Sarjana Persuratan dan Doktor Falsafah serta penyelidikan dalam Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, serta menjadi pusat rujukan bidang-bidang tersebut. Penukaran nama kepada ATMA pada tahun 1992 telah meluaskan daerah kajian kepada Alam dan Tamadun Melayu.
Semenjak penubuhan, institut berpandu konsep takrifan luas bidang Alam dan Tamadun Melayu yang mencakupi falsafah, pemikiran, kepercayaan, budaya material, identity dan semua aspek kehidupan dalam kosmologi Melayu. Sempadan memagari konsep Alam Melayu diluaskan lagi melangkaui landskap Tanah, Samudera dan Angkasa. Tiga dimensa tersebut dipayungi Benak Melayu iaitu pemikiran intelek, roh dan etos Melayu.
Untuk menyahut cabaran global, ATMA menampil peradaban Melayu sebagai daya ketamadunan saling dampak, sinambung dari zaman ke zaman. Interaksi resapan dan dinamika tamadun menghasil Negara bangsa baru-muncul abad ke 20 dan ke 21 yang menyumbang kepada usaha strategik inovasi dan teknologi sambil melestari identiti, juga ditujah.
Sedikit mengenai KANDIS RESOURCE CENTRE
Kandis Resource Centre telah ditubuhkan pada tahun 2000 bagi menyalurkan bantuan dan sumbangan daripada organisasi, badan, pertubuhan dan individu untuk projek Pameran Semangat Kayu dan projek buku Spirit of Wood.
Dua orang pengukir terkenal Negara menjadi pengasasnya iaitu allahyarham Nik Rashidin bin Hj Nik Hussein dan Norhaiza bin Nordin. Nik Rashidin merupakan seorang seniman dan guru kepada Norhaiza Nordin. Norhaiza Nordin seorang pengukir berpengalaman mengendalikan projek ukiran dengan pihak kerajaan, swasta atau individu. Datin Waveney Jenkins, seorang pengarca dan pelukis telah diberi mandat untuk menerajui projek yang dirancang setelah beliau sendiri yakin dan pecaya dengan ilmu dan kebolehan kedua-dua pengasas ini. Allahyarham Nik Rashidin mempunyai cita-cita agar sebuah institusi seni Melayu khususnya Seni Langkasuka/Pattani diwujudkan suatu hari nanti bagi menjamin warisan seni Melayu termasuk Kelantan, Terengganu dan Pattani tidak pupus ditelan arus pembangunan.
Pusat ini menawarkan pelbagai pakej lawatan, kemudahan, aktiviti dan khidmat bagi semua peringkat dan lapisan masyarakat dari peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan ilmuan juga golongan seniman, tukang, pengkaji dan peminat seni. Ia diharapkan dapat menjadi tempat rujukan dan maklumat mengenai sejarah dan warisan seni Melayu khususnya bagi kawasan Pantai Timur Malaysia sehingga ke Selatan Thai termasuk Pattani.
Pesanan dari Webmaster
Dalam persidangan tiga hari Seminar Seni Ukir Kayu Melayu : Warisan Nk Rashidin Nik Hussein, sejumlah 18 kertas kerja telah dibentangkan. Di dalam halaman ini kami akan bentangkan abstrak beberapa kertas kerja tersebut. Kertas kerja sepenuhnya akan kami muatkan sebaik sahaja kami selesai urusan-urusan pertadbiran dengan pihak penganjur Seminar.
LIKU DAN WARNA HIDUP PENGUKIR TERSOHOR ALLAHYARHAM NIK RASHIDIN NIK HUSSEIN, dibentangkan oleh RASHIDEE BIN NIK HUSSEIN, yang merupakan adik kepada allahyarham. Beliau pernah menyertai beberapa aktiviti berkaitan antaranya Pameran Semangat Kayu anjuran Badan Warisan Kuala Lumpur dan banyak lagi di Singapura, London dan sebagainya. Beliau adalah seorang pakar rujuk bagi projek Penerokaan dan Pemuliharaan Sumber Bahan Seni Ukir Kayu Melayu yang dijalankan oleh ATMA, UKM dengan kerjasama Kandis Resource Centre.
Dalam kertas kerja ini akan diceritakan serba sedikit liku dan warna sepanjang hidup Nik Rashidin, 1955 - 2002, yang amat berwarna-warni, baik sebagai seniman atau pengumpul artifak seni ukir Melayu, yang saya tahu dan kongsi sebagai adik, pelajar, pembantu dan juga penjaga amanah koleksi yang ditinggalkannya. Setelah tertarik kepada seni ukir setelah tamat persekolahan peringkat LCE, Nik Rashidin sudah memilih seni ukir sebagai kerjaya sepanjang hayat. Kelahirannya sebagai seninam ukir dan tukang hulu keris anak jati Kelantan penuh dengan cabaran dan gelombang di sepanjang hidupnya, walaupun ia tidak pernah kesempitan hidup dari segi wang. Antara sifat positif yang ada padanya dan yang boleh dicontohi adalah dia bukan sahaja tidak jemu belajar, untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi sehinggakan dia boleh menghasilkan 400 buah karya, tetapi juga tidak lokek berkongsi pengalaman dan rahsia kejayaannya.
PERSIAPAN DAN PERSEDIAAN DALAM PENGHASILAN SENI DAN BAHAN UKIR KAYU ALLAHYARHAM NIK RASHIDIN, dibentangkan oleh PUAN ROSNAWATI OTHMAN, pengarah dan pakar rujuk di Kandis Resource Centre, Bachok, Kelantan. Beliau bercita-cita meneruskan visi dan cita-cita allahyarham suaminya Nik Rashidin untuk menjadikan Kandis Resource Centre sebuah institusi seni ukir yang berjaya di persada antarabangsa.
Penghasilan seni ukir kayu yang pelbagai dan menyeluruh dalam budaya Melayu daripada sekecil-kecil kukuran di dapur kepada sebesar-besar rumah dan kenderaan perahu serta daripada semudah-mudah sudip untuk kegunaan harian hinggalah serumit-rumit keris sebagai akar umbi dan lambang jati diri. Semua ini memerlukan persediaan yang halus dan teliti daripada pemilihan bahan asal, alatan yang digunakan dan dari tukang itu sendiri. Persediaan seseorang pengukir ulung seperti allahyarham Nik Rashidin bin Hj Nik Hussein sentiasa menjurus ke arah kesempurnaan hasil karya dengan persediaan jasad, akal fikiran dan jiwanya. Adab dan tertib dalam proses penghasilan sesuatu karya menjadi amalan diri dan membentuk falsafah serta pemikirannya. Pada setiap hasil karya seni, beliau sentiasa menitikberatkan aspek keindahan, kehalusan serta berguna.
Ini dapat dilihat pada sebilah keris yang kehebatannya terserlah gabungan tiga orang pandai tukang yang terlibat iaitu pandai besi, pandai kayu dan pandai batu permata dan logam halus. Hasil karya yang indah seperti keris memang dikagumi dan dihargai. Namun memahami dan menjiwai proses persediaannya tidak semudah yang disangka. Persediaan inilah yang mengangkat martabat seni beliau ke tahap kesempurnaan karya yang dapat kita rasai bersama.
KOLEKSI PERIBADI NIK RASHIDIN NIK HUSSEIN : SUMBER PENYELIDIKAN PRIMARY SENI UKIR KAYU MELAYU, dibentangkan oleh DATO’ ZAWIYAH BABA. Beliau dilantik Felo Penyelidik Utama, ATMA, UKM. Kini mengetuai Projek Penerokaan dan Pemuliharaan Sumber Seni Ukir Kayu Melayu di Kandis, Kelantan.
Koleksi peribadi allahyarham Nik Rashidin Nik Hussein merangkumi pelbagai jenis dan bentuk bahan berkaitan seni ukir kayu Melayu tradisional termasuk artifak, lakaran dan lukisan, gambar foto, buku serta himpunan kayu kayan untuk ukiran. Hasil kerja ukiran peninggalan Nik Rashidin termasuk peralatan bilik tidur, dapur, adat istiadat, objek hiasan, aktiviti masa lapang, keagamaan, persiapan ke laut, serta keris dan lain-lain senjata. Sebagai pengukir, beliau turut meraih dan mengumpul contoh ukiran kayu yang luas biasa dan sempurna untuk dijadikan rujukan atau ‘buku teks’. Tidak hairanlah koleksi peninggalan Nik Rashidin ini menjadi sumber primer bagi penyelidikan dalam bidang seni ukir kayu termasuklah persiapan dan teknik mengukir, pilihan jenis kayu serta corak dan motif dalam rekabentuk. Selain itu, falsafah, sejarah, tradisi, kepercayaan dan adat resam kegunaan, serta pemuliharaan sesuatu artifak juga dapat dikaji. Peningkatan kemahiran dan kehalusan kerja tangan alllahyarham Nik Rashidin, contohnya boleh dikaji dari perbandingan hasil kerja awalan beliau bagi perabot atau panel ukiran besar dengan keindahan dan kehalusan ukiran hulu keris di peringkat akhir hayat beliau. Pembinaan pangkalan data digital koleksi ini yang boleh dicapai melalui internet akan menambah nilai penyelidikannya.
KOLEKSI KHAS KERIS : LEGASI NIK RASHIDIN NIK HUSSEIN, dibentangkan oleh PROF. DR. DING CHOO MING, iaitu Felo Penyelidik Utama di ATMA, UKM sejak 1999.
Nik Rashidin, 1955-2002, sudah tertarik hati kepada seni ukir kayu selapas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada 1970. Dalam tempuh empat dekad, Nik Rashidin telah menghasilkan lebih kurang 400 buah karya.
Sebahagian besar hulu keris yang dihasilkannya itu masih boleh didapati dalam koleksi keris yang kini dijaga Rashidee di rumahnya di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu dan diurus secara berasingan daripada koleksinya yang lain di Kandis. Kertas kerja ini memperkatakan koleksi keris yang dibangunkan Nik Rashidin untuk mencetuskan ilham pengkaryaan, meningkatkan kreativiti dan sebagai jalan pintas untuk mempelajari pengalaman, kemahiran, ilmu, teknik dan lain-lain daripada pengukir lain. Kekuatan koleksi ini bukan sahaja kerana saiznya, tetapi juga kepelbagaian jenis keris dengan motif yang berbeda-beda.
SENI UKIR KAYU SEBAGAI HIASAN PADA PERAHU TRADISIONAL MELAYU DI SEMENANJUNG MALAYSIA, dibentangkan oleh PROF. DATO’ DR NIK HASSAN SUHAIMI, yang merupakan sebagai Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.
Di alam Melayu, perahu dalam bahasa Melayu/Indonesia merujuk kepada kenderaan air tanpa mengira saiz. Untuk membezsakan jenis perahu ditambah satu lagi perkataan kepada perahu seperti perahu jalur, perahu kolek dan lain-lain. Perahu tradisional adalah perahu tanpa enjin dan mungkin memiliki layar. Sumber untuk mencari jenis perahu tradisional antaranya ialah melalui kajian sastera kelasik, pameran muzium, ethnografi, contoh yang masih kelihatan di pantai. Perahu dihias dengan mengguna cat atau ukiran kayu. Pada hari ini perahu yang berhias kebiasaannya perahu ikan/nelayan di pantai Timur Semenanjung iaitu di Terengganu, Kelantan dan Selatan Siam. Ukiran di perahu terdapat pada 7 bahagian iaitu Bangau, Okok, Cagak, Koyang Ekor, Kepala dan Caping. Tema motif ukiran/hiasan ialah personaliti wayang kulit, mitos, legenda, flora dan fauna biasanya dalam keadaan stylized.
PERBANDINGAN REKA BENTUK CORAK DAN MOTIF MELAYU DALAM TEKSTIL DAN UKIRAN KAYU, dibentangkan oleh PROF MADYA DR HAZIYAH HUSSIN, yang merupakan sebagai Felo Penyelidik Kanan Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA), UKM.
Motif atau corak merupakan ragam hias yang penting dalam tekstil, khusus dalam batik, songket dan ukiran kayu. Tipologi motif tekstil dan ukiran kayu adalah berasaskan empat sumber yang penting iaitu tumbuhan, hidupan, kosmologi dan alam bumi. Sumber tumbuhan menyumbang lebih daripada 70 peratus dalam pemilihan motif atau corak tekstil dan ukiran kayu. Sumber inspirasi motif dalam tekstil dipilih berdasarkan nilai keunikan, estetika, perubatan, sumber makanan dan mudah didapati di persekitaran (familiarity).
Sumber inspirasi motif ukiran kayu juga didapati mempunyai konsep pemilihan yang sama dengan motif batik dan songket, hanya kepentingan agak berbeza kerana ianya lebih lama dihasilkan dan mengalami evolusi yang lebih lama.
Pemilihan motif tumbuhan, hidupan, kosmologi dan juga alam bumi dalam tekstil dan kayu didapati lebih berdasarkan kepada nilai keunikan dan estetika. Nilai perubatan juga amat penting dalam masyarakat Melayu kerana tumbuhan ialah penyembuh yang paling mustajab. Motif kehidupan yang dihasilkan dalam tekstil dan ukiran kayu berbeza dengan motif tumbuhan kerana pemilihan motif lebih menjurus kepada keunikan. Dalam masa yang sama, motif sumber kosmologi dan alam bumi turut dihasilkan dalam tekstil dan ukiran kayu berdasarkan falsafah keindahan alam semesta dan juga simbol keagamaan walaupun maknanya kurang dihayati.
Artikel Lain
• KOTA BHARU BANDARAYA ISLAM
• ALAM WANITA
• MELAYU PERLU BERUBAH
• SALURAN PELANCONGAN
• MADAH
• HARI INI DALAM SEJARAH - 23 hingga 31 MAC
• UNIVERSITI-UNIVERSITI DI MALAYSIA
• SATU LAGI SIARAN RADIO INTERNET
• TINDAKAN BESTARI
• MADAH

Contoh ukiran kayu Melayu





Motif idea